Thursday, June 23, 2011

Yuhooo.....

Kegembiraan tidak terkata apabila buku pertama akhirnya akan tercapai tidak lama lagi apabila buku ini sudah dimasukkan dalam senarai akan terbit. Tarikh terbitnya dipasaran dijangka pada 6 Julai 2011. Bermakna pada minggu hadapan sahaja lagi.

Kelegaan yang tidak terkata apabila buku ini diusahakan selama dua tahun setelah mengharungi beberapa onak dan liku yang telah tertulis di kalam Illahi.

Ujian pertama apabila editor yang mula-mula menghubungi saya setelah menghadiri kursus penulisan anjuran PTS dan disampaikan oleh Pengerusi, Puan Ainon amatlah menyemarakkan hati saya yang ketika itu sememangnya berkobar-kobar ingin meneroka bidang kerja baharu.

Hujan tidak disangka akan menyimbahi bumi dikala panas. Cikpuan Ain, editor pertama yang memohon saya mengusahakan sebuah novel untuk sasaran remaja lelaki berhenti kerja di syarikat berkenaan. Kecewa di hati terubat apabila dimaklumkan karya saya diserahkan kepada editor baru iaitu Tuan Syafiq. Usaha saya berlanjutan sehinggalah saya berjaya menyelesaikan keseluruhan cerita terbabit.

Namun sekali saya diuji apabila Tuan Syafiq berhijrah ke TV Al Hijrah pula. Ketika itu semangat saya masih tidak luntur.Setelah beberapa lama menanti akhirnya manuskrip saya diserahkan kepada Tuan Haeqal.

Bersama Tuan Haeqal perjalanan Wira Galaksi mula ke arah kejayaan. Perbincangan bersama beliau di Majlis Aidilfitri di Batu Caves telah menampakkan seri di wajah Wira Galaksi. Dari situ juga judul asal mula dikaji. Judul asal Wira Galaksi adalah Satria Phylo. Menurut Tuan Haeqal, judul tersebut sukar dibaca dan tidak mendatangkan momentum pembaca, maka kami berusaha mencari nama yang sesuai hinggalah muncul Wira Galaksi.

Pertemuan demi pertemuan, pertukaran nama watak demi pertukaran jalan cerita dilakukan. Saya akur dengan kehendak editor yang lebih mahir  berbanding saya. Saya amat berbangga diberi peluang berkerja bersama beliau. Tambah membanggakan apabila Tuan Haeqal memaklumkan bahawa novel saya akan dijadikan novel visual bermaksud novel yang mempunyai selingan komik. Pelukis ilustrator pula adalah Tuan Bophairy yang telah memenangi Anugerah Pekomik baru baru ini. :) Tambah lagi beliau memberikan komen positif berkenaan pengalaman beliau ketika melakukan ilustrasi Wira Galaksi. (Huh... Saya sudah senyum hingga ke telinga ketika ini).

Di bawah adalah sinopsis Wira Galaksi yang saya salin daripada portal PTS.


Harapan bagi menyelamatkan dunia kini terletak di bahu seorang remaja.
Ini kisah yang berlaku kepada Fattah. Pada asalnya, dia cuma seorang remaja yang lumpuh dan sering dibuli. Namun, segala-galanya berubah apabila dia menemui sebuah objek yang jatuh dari angkasa. Objek itu adalah sebentuk cincin yang cukup berkuasa sehingga mengundang serangan makhluk asing bergelar Ratu Asyar.
Fattah turut dikejutkan dengan kisah leluhurnya yang berasal dari planet lain. Apakah yang berlaku kepada planet asal Fattah sehingga menyebabkan leluhurnya datang ke bumi? Siapakah Ratu Asyar dan mengapa dia turut mencari cincin itu? Seorang gadis misteri turut muncul bagi membantu Fattah. Siapakah gadis misteri itu? Dapatkah mereka berdua menewaskan Ratu Asyar?
Apa yang pasti, Fattah tidak menemui cincin itu secara kebetulan. Dia adalah insan yang dinanti-nanti selama ini. Dia adalah Wira Galaksi.


Buku ini boleh dibeli terus melalui www.BookCafe.com.my


Kaver yang hebat. Terima kasih kepada pihak yang melakukannya


Perbincangan interaktif di antara saya dan Tuan Haeqal sambil diperhatikan suami saya yang setia menemani ke mana jua saya pergi. Beliau juga penyumpang utama kepada kelansungan dan perkembangan jalan cerita Wira Galaksi


Ini pula ulasan yang dibuat oleh Tuan Bophairy dalam blog monyetangkasa.blogspot.com


Salam, komik komik di bawah ini adalah antara komik yang akan diselitkan di dalam novel aksi/fantasi yang bertajuk Wira Galaksi, terbitan PTS POP. Aku agak layan buat 'job' ini kerana konsep ceritanya yang menarik,tertarik kau memang da'bomb itu. Kepada peminat tegar komik, apakata sekali sekala kita layan novel aksi/fantasi pula. Kita cuba cuba bermain dengan visual imaginasi kita semasa membaca novel..


Salah satu promo komik yang dilukis oleh Tuan Bophairy






Friday, June 10, 2011

Catatan Hari Sabtu

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Berkatanya diri ku di sini adalah untuk sekadar berkongsi perasaan dan luahan hati.

Hehehe.... Beromantika pula saya. Maaf.

Baiklah, hari ini saya cuma ingin kongsikan apa yang telah berlaku kepada diri saya pada hari Khamis dan Jumaat lepas. Memang tidak saya sangka sama sekali perkara ini akan berlaku.

Bermula pada hari Khamis.
Saya seperti biasa masuk mana-mana kelas untuk pemerhatian seperti mana yang diamanahkan oleh orang yang mengamanahkan tugas ini kepada saya. Ya, sebenarnya saya tidaklah layak seperti mana master yang lain. Namun tugasan yang kecil ini jika tiada orang yang bertanggungjawab, maka tidaklah dikatakan tanggungjawab.

Saya berada di salah sebuah empat kelas yang dibuka untuk Modul Pembinaan Karakter. Tidak sangka pula niat saya ingin membantu disalah erti. Saya dituduh sebagai perosak keceriaan kelas. Oh, begitu terseksa emosi saya ketika itu. Sudahlah. Cukup setakat ini. Saya tidak mampu mengingatinya semula kerana ia membuatkan hati saya betul-betul terluka. Hinggakan saya berfikir, "Adakah konsep modul ini sudah berubah?"

Kemudian pada hari Jumaat saya berasa amat tertekan dan menyebabkan saya pening dan lemah semua anggota badan. Mungkin juga rentetan peristiwa semalam.

Pada mulanya saya gagahnya juga untuk ke tempat kerja. Namun apabila tiba, kaki dan minda saya seolah-olah terpadam seketika fungsinya. Saya pusing gelap, badan saya begitu lemah. Awalnya kunci bilik tertinggal di rumah. Suami perlu menghantar saya pulang untuk mengambil kunci. Akan tetapi pada perjalanan pulang dada saya begitu berat, tekak saya begitu loya, dan keadaan badan saya begitu lemah. Akhirnya saya menangis.

Mahu tidak mahu suami saya terpaksa membiarkan saya berehat di rumah. Manakala dia terpaksa menelefon ketuanya mengatakan dia akan tiba lewat. Maafkan saya wahai suamiku.

Saya bertenang di rumah dan berehat. Saya terlelap untuk banyak kali. Sangka saya menjelang tengah hari sudah pulih. Ternyata sangkaan saya itu meleset sama sekali. Saya pening sepanjang hari. Pada jam 3 petang suami pulang dengan membawa sebungkus nasi ayam dan selepas itu kami terus ke Klinik Kalumpang untuk mendapatkan rawatan.

Keputusannya, saya disahkan hamil, namun tidak dapat umur kandungan  saya kerana klinik ibu dan anak tidak dibuka pada hari Jumaat. Klinik tersebut hanya dibuka pada Isnin hingga Khamis sahaja.

Jangan fokus kepada kehamilan saya. Kehamilan itu adalah impian kami suami isteri. Bukan itu yang saya bicarakan. Saya ingin bicarakan mengenai perkerjaan saya.

Saya berkerja sebagai seorang Penolong Pegawai Kesatria, secara mudahnya adalah Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara. Suatu ketika dahulu saya ingin keluar dari bidang ini. Namun semangat kepasukanan, membuatkan saya menarik balik keputusan saya itu. Namun sejak akhir-akhir ini semangat itu sudah semakin pupus di hati warganya. Masing-masing mengamalkan konsep 'kau kau, aku aku.'

Sekali lagi saya berfikir, "Adakah tiba masanya untuk saya mengundurkan diri dari bidang ini dan berhijrah ke bidang yang baru?"

Monday, June 6, 2011

Majlis Tunang, Pekan Sehari, Genting Highlands, Makan Buah Kering, Kejutan

Assalamualaikum, Salam Satu Malaysia.
Maaf kali ini beri salam panjang sedikit. Almaklumlah mengikut saranan Perdana Menteri Malaysia yang paling ngetop setakat ini Dato' Seri Najib bin Tun Razak.

Maaf juga kerana sudah lama tidak menulis diruangan ini. Maafnya blog kesayanganku.

Ok, mari baca apa yang telah saya lalui sepanjang beberapa hari ini.
Baiklah, jom kita lihat dahulu pada hari 1hb Jun 2011, Rabu.

Rabu, 1hb Jun 2011 saya pulang ke kampung halaman saya di Felda Chemomoi, Bentong Pahang DM. Saya bertolak pada waktu malam lebih kurang jam 9.30 malam. Seronoknya berjalan pada waktu malam. Sejuk sahaja. Kesesakan jalan raya pun tiada. Jadi dipendekkan cerita, saya dan suami tiba di rumah ibu bapa saya pada 1210 minit malam. Ketika itu semua anggota keluarga saya telah tidur. Adik saya Yaya yang bukakan pintu. Tanpa membuang masa, saya terus tidur. Jadi jangan tanya pula kenapa tidur awal. Faham-faham sendiri selepas 2 jam perjalanan dalam kereta. (Bukan saya yang memandu pun). :)

Pada 2hb Jun 2011 bersamaam Khamis pula saya ke rumah Mak Ngah di Felda Rentam, Bera. Saya tiba agak awal. jadi tiada sangat kerja yang perlu dibuat. Sekadar menolong masak untuk makan tengah hari dan membuat sedikit kuih. Oh, kuih yang dibikin petang itu adalah kuih lepat ubi dan kuih koci. Saya sukakan kuih koci berbanding kuih lepat ubi. Sebabnya? Sebabnya kuih lepat ubi tiu telah ditambah dengan garam. eeee.... Saya benar-benar tidak suka.

Kemudian majlis pertunangan sepupu saya berlangsung pada 3 Jun 2011. Rombongan lelaki tiba awal iaitu pada hari Khamis lagi dan mereka menumpang bermalam di rumah tumpangan yang ada di sekitar bandar Bera. Rombongan ke rumah sepupu saya pula tiba pada lebih kurang jam 11 pagi. Perbincangan berlangsung dengan baik dan mereka memutuskan wang hantaran dan tarikh pernikahan dibuat oleh pasangan bakal pengantin sendiri di kemudian hari.

Oh, terlupa pula warna tema yang dipilih sepupu saya. Beliau memilih tema warna ungu merah jambu. Siap ada mini pelamin. Cantik. Nanti lihat gambar dibawah ok.

Pada 4 Jun pula saya tidak ke mana-mana. Hanya duduk di rumah membaca buku dan memantau adik-adik bermain di rumah sahaja. Memasak? Adik perempuan saya yang bernama Normi yang masak. Sebabnya dialah yang paling hebat memasak. Hehehe....

5 Jun pula bermulalah perjalanan pulangj ke rumah sendiri. Huhuhuhu.... :(
Pagi-pagi lagi kami bangun dan bersiap menuju ke Pekan Sehari Ahad di Bandar Temerloh. Wah, panjangnya pekan sehari. Sudah lama sangat rasanya saya tidak ke pekan sehari Temerloh. Kali ini saya terkejut ada banyak pembaharuan yang ada di sepanjang tebing Sungai Pahang. Saya sempat makan bihun sup dan membeli jeruk maman, ikan lais salai, sejenis kuih yang saya lupa namanya dan minum air coconut shake. Sedapnya masih terasa hingga kini.

Selepas sahaja menurunkan Normi saya ke Guardian untuk membeli alat ujian kehamilan. Hehehe.... :)
Senyum dulu...
Mungkin anda semua boleh meneka bukan?
Sebelum itu masih ingatkah kepada cerita saya pada entri hari sebelum ini? Jika masih ingat baguslah.
Ya, saya resah kerana tidak didatangi haid. Hendak dipendekkan cerita, saya membuat ujian kehamilan di tandas R&R Lanchang. Positif! Terkejutnya! Tergamam! Suami saya macam hendak melompat dalam kereta.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Genting Highlands. Wah, ramainya manusia di puncak Taman Tema ini. Saya seronok melihat kemeriahan kanak-kanak yang masuk pertandingan hoola-hup. Namun sedikit kecewa kerana cadangan untuk taman strawberi terpaksa dibatalkan kerana hujan. Perjalanan pulang ke Kalumpang diiringi hujan yang sekejap lebat, sekejap reda.

Huh, penat juga menaip ini. Tapi bukan disebabkan itu saya perlu berhenti. Saya perlu melakukan satu tugasan untuk satu program. Tapi rasanya sebelum itu saya mahu menonton drama Marimar di Youtube.

Baiklah, saya pergi dahulu. Selamat bergembira.....


Bergembira selepas majlis selesai

Sungai Pahang di Temerloh. 

Bihun yang sedap 

Inilah kuih yang namanya saya tidak ingat

Suami beratur untuk memesan makanan di restoran ini

Kanak-kanak girang bermain hoola-hup

Ketam goreng tepun yang tinggal satu sahaja. Yang lain sudah habis dimakan termasuk kaki ketam ini. Kasihan ketam hanya tinggal sepitnya sahaja

Ujian yang membuatkan jantung berdegup kencang dan wajah terperanjat masih tebal di wajah.

Saturday, June 4, 2011

Resah

Assalamualaikum semua! Salam Satu Malaysia.
Itulah kata-kata aluan yang akan dan selalu saya berikan kepada semua pelatih dan semua orang yang saya hadapi. Jurulatih PLKN lah katakan.

Hairan? Hairan membaca tajuk utama tulisan saya hari ini? Jangan bimbang.... Alamak, saya sebenarnya yang terlalu bimbang.

Kenapa tidak. Sudah sebelas hari campur hari ini saya masih tidak datang haid untuk bulan ini. Tentulah saya bimbang. Suami saya sudah membuat spekulasi awal.

Katanya, "Ada baby kot dalam perut awak."

Serta-merta jantung saya berdebar-debar. Bermacam perkara bermain dalam minda saya. Sudah masuk bab berangan juga.

"Macam mana jika saya mengandung?"
"Adakah saya jjuga akan mabuk macam orang mengandung yang lain?"
"Perut saya mesti besar."
"Emosi saya pula bagaimana?"

Uish.... banyak betul persoalan yang timbul. Saya akui saya dambakan kehadiran bayi dengan kata lain cahaya mata dalam hidup kami suami isteri. Bukankah anak itu pengikat kasih sayang antara kami berdua. Memang kami menantikan kehadirannya. Kini saya bertambah debaran saya.

Apakah tanda-tanda seseorang itu hamil?

Melalui bacaan saya dalam beberapa artikel media cetak tempatan dan media elektronik, mereka menyatakan apabila seseorang wanita itu hamil, beliau akan mengalami beberapa perubahan fizikal. Sebagai contoh, bahagian pinggulnya akan kelihatan sedikit besar daripada biasa. Seorang gwanita itu juga akan mengalami kesakitan di bahagian payudara dan beberapa lagi tanda yang saya sudah tidak ingat. Tidak mengapa. Sebentar nanti saya akan meng'Google'.

Jika sekiranya saya mengandung. Apakah yang perlu saya lakukan?

Hm... soalan cepu emas. Saya pun sebenarnya belum pasti apa yang perlu saya lakukan jika saya disahkan hamil. Menurut penerangan rakan-rakan saya yang telah dan pernah hamil, wanita hamil ini banyak juga pantang larangnya. Antaranya tidak boleh buat kerja terlalu berat, tidak boleh makan makanan yang tajam seperti buah nenas, wanita hamil perlu selalu mengaji agar anak yang dikandung akan sejuk dan cerdik serta cantik. Maaf saya tidak ingat lagi apakah petuanya.

Bagaimana pun saya perlu membuat pemeriksaan terlebih dahulu. Sebentar tadi saya ada mencadangkan kepada suami saya agar membeli alat ujian kehamilan di farmasi atau pasaraya Guardian dahulu sebelum membuat pemeriksaan lanjut di klinik.

Ya Allah. Saya gementar sungguh. Namun yang menghairankan saya, saya masih lagi boleh berlagak relaks. Harap khayalan kami ini akan menjadi kenyataan.

Hari ini sudah hari kesebelas, Esok hari kedua belas. Bagaimana lusa? Adakah darah haid akan keluar? Entahlah.

Ya Allah. Ini bukan khayalan. Ini adalah kenyataan. Saya sudah tidak datang haid untuk bulan ini.

Tapi tidak mengapa. Saya akan bersabar dan menunggu dalam masa seminggu lagi.
Sabarnya.

Friday, June 3, 2011

Hari Himpunan Keluarga.

Assalamualaikum semua.

Hehehe... Walau pun saya sedar tiada ramai yang membaca dan tiada yang mengikuti blog ini, saya tetap memberi salam. Jawab jangan tidak jawab kepada sesiapa yang terbaca blog ini ye.

Hari ini 03 Jun 2011 bersamaan hari Jumaat, keluarga saya menghadiri sebuah  majlis yang amat bermakna kepada salah seorang sepupu saya. Sepupu yang paling rapat dalam ramai-ramai sepupu yang ada bertebaran di seluruh Malaysia. Beliau bernama Nurul hidayah.

Hari ini sepupu saya yang bernama Nurhidayah ini bertukar status dari bujang kepada tunangan orang. Jodohnya dari Negeri Kelantan Darul Naim atau nama popularnya Negeri Che Siti Wan Kembang. Beliau anggun berpakaian kurung moden warna pink ungu. Indah sekali rekaannya. Begitu juga tunangnya yang turut hadir. Namun warna baju melayu yang dipakai pudar sedikit. Segak bersamping songkok gitu.

Mereka bertukar hantaran sebanyak 7 berbalas 9 dulang. Dulang hantaran juga amat cantik sekali. Tidak sia-sia beliau menempahnya di sebuah kedai di bandar Klang.

Rombongan lelaki tiba lebih kurang jam sebelas pagi. Saya dan beberapa orang sepupu saya terkejut apabila melihat Hafiz (oh, terlupa saya memperkenalkan nama tunangan beliau. Tunangan beliau bernama Ahmad Hafizudin bin Ramli) turut masuk ke ruang tamu dan duduk bersama-sama pihak perundingan. Tapi saya tidaklah hairan sangat sebab sudah menjadi trend pada hari ini pihak lelaki turut serta dalam majlis pertunangan. Tidak seperti dahulu lagi. Malah kali ini siap mini pelamin.

Saya akui saya sedikit cemburu kerana pada tahun saya bertunang masih belum begitu popular min pelamin untuk pertunangan. Jika ada dibuat, hanya untuk individu yang mempunyai belanjawan tinggi. Belanjawan saya tidak tinggi. Hanya sekadar cukup syarat sahaja.

Suami saya pula amat menggemari juadah sup lembu. Di akhir majlis sebelum bertolak pulang, dia sempat makan semangkuk sup tulang lembu. (Pada masa yang sama semua keluarga saya termasuk atuk, wan, mak long, pak long sudah pulang). Mak Ngah amat sukakan melihat gelagat dia makan. Dalam hati saya berkata, "Hodoh betul suamiku tersayang makan. Berselera sungguh dia. Matilah saya nanti bila dia meminta saya memasaknya."

Petang dalam perjalanan pulang hanya kami berdua. Saya terlalu mengantuk lalu tertidur walau pun cuaca di luar kereta amat panas. Namun tiba-tiba saya terjaga apabila suami tersayang ku membuat pusingan U. Ajaibnya saya terjaga dan cepat bertanya, "Eh, kenapa ini? Kita hendak ke mana?"

Tahu apa jawapan suami ku tercinta?

Jawabnya selamba, "Ayang terlupa isi minyak."

Aduh! Suamiku terlupa isi minyak kereta. Saya terus mengunci mulut dari berkata-kata kerana sudah amat memahami tinglah laku suami ku seoranmg ini.

Tiba di rumah, kelihatan adik-adikku yang kecil seronok bermain bersama sepupunya yang juga sebaya dengannya di halaman. Saya terus masuk ke bilik untuk berbaring barang sebentar. Saya keluar semula untuk melihat makanan di bawah tudung saji.

Kata saya teruja, "Ada tauhu sumbat. Sedap!"

Saya pun makan dua biji tauhu sumbat walau pun perut sudah penuh. Tamak betul.

Wah, panjang lebar betul tulisan saya kali ini. Saya rasa sudah mahu berhenti menulis. Kalian boleh melihat gambar yang saya sertakan untuk tatapan memori saya yang indah pada hari ini. Jangan kutuk pula kerana solekan saya kurang menjadi. Jadi saya tidak menjadi jelita. Jangan bimbang, wajah saya dalam proses pemulihan dari jerawat yang banyak. Sabar....


Saya bersama dua orang adik paling bongsu di dalam kereta dalam perjalanan ke Felda Rentam.

Antara hantaran beliau kepada pihak lelaki

Inilah suami saya yang paling saya sayang dan paling bertuah

 
Saya bersama sepupu, Nurul Hidayah binti Mat Ali

Inilah wajah bakal pengantin yang akan mendirikan masjid bahagia dalam setahun lagi