Tuesday, May 13, 2014

Cernit kisah harian yang dipaparkan di FB

Buntu.

"Kau tulis sahaja apa-apa cerita pun. Tidak kisah. Janji tulis."

Berkali-kali Witra mengulang ayat yang sama. Namun matanya masih tertumpu kepada manual pengajaran.

"Ishk, bagaimanakah? Manual di sini. Di sana projek penulisan."

Lalu kedua belah tangan menggaru kepala yang sudah mulai ditumbuhi uban.

"Tidak boleh. Aku mesti siapkan projek yang sudah aku mulakan."

Tiba-tiba kedengaran suara dari bilik atas dengan lantang, "Nanti sudah dapat modal, jangan lupa kami di sini."

Witra membalas, "Kenapa?"

Masih hanya kedengaran suara tanpa menampakkan tuan punya suara, "Mahu ikut melancong. Tidak mahu tinggal."

Sekali lagi Witra menggaru kepala yang gatalnya akibat uban yang baru tumbuh.

"Aduh, projek belum separuh jalan sudah ada rancangan melancong."