Thursday, July 10, 2014

Sembelit, Udang, Kek Batik.

Apabila bangun dari tidur yang tidak berapa lena, membuatkan kepala sedikit pening.

Biasa jam 8 pagi sudah siap segala macam tugasan rumah yang hakiki, tapi hari ini berbeza. 

Akibat tidur yang kerap terjaga, membuatkan badan rasa berat untuk melakukan semua itu.

Apa yang terjadi malam tadi?

Sedih dan pilu apabila mendengar satu-satunya anak, menjerit kesakitan. Beliau mengalami sembelit. Bermula apabila saya lihat beliau meneran dengan susah-payah. Bayangkanlah anak yang baru berusia dua tahun  enam bulan meneran. Sedangkan kita yang dewasa, apabila sembelit tentu juga sakit di bahagian rektum. 

Kerana dia sudah menjerit-jerit, saya bawa beliau ke tandas segera. Melihat najis pada lampin pakai buang, ada sedikit sahaja. Bermakna ada banyak lagi di dalam rektum. Saya pun meraba punggungnya sambil dialiri air. Ya,betul ada najis tersekat di situ. Beliau menjerit-jerit, "Sakit. Sakit. Sakiit mama." Saya sudah sasau. Papa beliau pun sudah tidak tenang di luar bilik air.

Dalam hati saya berkata, "Apa yang aku nak buat?"

Maka saya terfikirkan kemujaraban Minyak Afiat. Lalu saya menjerit kepada suami agar mengambilkan minyak tersebut. Saya pun menyapu lubang rektum anak dengan minyak tersebut. Saya urut belakangnya dan menyapu minyak  ke dalam dubur. Anak menjerit lagi,"Sakit."

Hati saya pedih, tetapi bagaimana? Saya fikir biarlah sedikit najis yang tersekat itu dapat keluar daripada ia terus menekan dinding salur najisnya. Usaha saya nampaknya sedikit berjaya apabila tangisannya mulai reda. Kemudian saya basuh punggung dan menyapu lagi minyak Afiat dengan banyak. Biar licin sedikit saluran tersebut.

Tiba masa untuk anak tidur, sudah menjadi kebiasaan sebelum tidur pasti anak minum susu. Maka minumlah anak sehingga habis sebotol. Anak pun naik ke bilik bersama papa tanpa saya kerana mahu menyiapkan sedikit manuskrip yang tergendala.

Saya sudah mengagak, anak pasti akan buang air besar lagi. Ya, benar. Tiba-tiba saya mendengar tangisannya lagi bersama suara suami meminta tolong. Saya pun berlari  ke bilik dan melihat anak yang sedang menangis. Saya lihat dalam seluar, ada najis yang sedang keluar.Syukur. Kemudian saya pun membersihkannya sekali lagi. Kali ini nak kelihatan lega.

Jam 1 pagi saya terpaksa baring bersamanya, saya sangka anak akantidur, tetapi salah. Beliau cergas pula bermain dan membaca buku. Saya melayan dengan mata yang sudah kuyu. Saya tegaskan tutup lampu utama, dan baring. Anak mengikut. Tetapi dia  masih cergas. Saya sudah kalah dan terlelap. 

Sahur.

Saya tersedar apabila suami mengejutkan, "Mama, bangun. Sahur."

Saya bingkas duduk dan bertanya, "Pukul berapa sekarang?"

Suami melihat jam dan berkata, "Dah lima setengah."

Saya terus terbaring apabila kepala terasa sungguh berat. Dalam hati sempat lagi  berniat, "Saya aku berpuasa esok hari, hanya kerana Allah Taala."

Itulah yang berlaku kepada diri saya pada malam hari. Berdepan dengan anak yang sembelit dan tidak mahu  tidur. Jadi, beliau bangun  pada jam sepuluh  pagi. Maka saya sempatlah mengemas rumah serba sedikit dan mengejutkan suami.

"Bangunlah. Janji nak belikan udang. Pergilah pasar cepat."

Suami mengeliat dan memandang saya, "Pukul berapa?"

"Pukul lapan setengah. Cepatlah."

"Sekejap lagi."

Muncung. Saya bengang lalu saya turun ke bawah menyambung basuhan kain kotor.

Saya tunggu sehingga jam sembilan. Beliau masih tidak bangun. Saya pun naik semula dan merampas selimut.

"Pukul berapa?"

Saya tidak jawab.Saya sudah merajuk. Pandai pula suami bangun sendiri dan terus mandi kemudian terus ke pasar.

Kepulangan suami saya sambut dengan bersahaja.Saya menjenguk beliau di dapur yang terus membersihkan udang, sotong dan ayam yang dibeli. 

Kata saya dalam hati,"Pandai pun memilih lauk."

Saya biarkan beliau manakala saya memandikan anak yang sudah bangun.

Oleh kerana udang sudah dibeli,dan bahan-bahan lain pun sudah  dibeli semalam, saya menyusun jadual  memasak.

Sebelum itu kira-kira jam tiga petang saya mencuba kek batik yang saya tidak pernah cuba. 

"Mudah sahaja rupanya."
Maka dengan itu, inilah rupa kek batik saya. Saya upload dalam FB, ada komen dari rakan. Beliau mengatakan bahawa kek iniperlu diisi dalam bekas yang kecil kemudian dipadatkan. Oh, barulah saya tahu kenapa kek saya tidak padat.

Tepat jam lima petang, kebiasaannya saya mandi dahulu  baru memasak. Jam lima setengah bermulalah percubaan  memasak udang mentega. Resepi dari blog saya baca satu persatu. Kemudian saya ikut saya persatu. Ya, berjaya.Tetapi warnanya gelap sedikit.

Gelap pun gelaplah. Tetapi berjaya menghasilkan cernit di status FB. Nak baca? 

Ini dia.

*
Pada suatu petang, di sebalik awan putih yang kelihatan berkepul-kepul.

Duduk sepasang suami isteri memasang angan.

Kata Puan Isteri dengan manja, "Rindu makan udang mentega yang di masak di restoren Garden Seafood."

Balas Tuan Suami dengan wajah bercahaya, "Ya. Udang mentega di situ memang terbaik."

Keadaan diam. Barangkali masing-masing membayangkan keenakan udang mentega."

Kemudian Tuan Suami memecah sunyi, "Apa kata awak yang masak. Boleh kita makan puas-puas."

"Ok. Nanti saya tanya Pakcik Google resepinya." Balas Puan Suami sambil menggaru tangan yang digigit nyamuk.

Tuan Suami pun menjanjikan sesuatu, "Nanti saya belikan udang. Awak masak."

Sejak dari hari tersebut, menunggulah Puan Isteri udang yang dijanjikan.

Penantian berlarutan hampir seminggu.

Hinggalah pada suatu hari, kerana kecewa pasukan bola yang disokong kalah, Tuan Suami pun pergi ke pasar membeli udang.

Namun Puan Isteri yang sudah merajuk, terima sahajalah udang yang dibeli.

Maka memasaklah Puan Isteri mengikut resepi di dalam tablet.

Berkata Puan Isteri dengan sedikit sayu di hati, "Saya tidak tahu rasanya, sebab saya puasa."

Tuan Suami diam sambil melihat udang mentega dengan sedikit warna hitam.

*

Baiklah.

Esok saya mahu buat puding roti kukus berkuah pula. Tidak tahu apa yang akan jadi pula.

Aufwiedersehen.

No comments:

Post a Comment