Hari ini Kak Long mendoakan sesiapa pun yang ter'google' blog ini dan membacanya. Kak Long mohon maaf kerana dua hari lepas Kak Long ter'over' emosi tatkala menata sebuah cerita. Hari ini Kak Long tidak berasa sedih lagi. Bahkan Kak Long berrasa amat gembira. Hendak tahu apa yang Kak Long lakukan?
Pertama, Kak Long memujuk suami Kak Long berjalan-jalan di Wangsa Walk Kuala Lumpur. Disebabkan wang gaji belum masuk, jadi Wangsa Walk yang paling hampir. Mula-mula kami membeli tiket filem Nur Kasih. Hebat! Hairankan, kenapa Kak Long boleh kata hebat sebelum masuk panggung lagi. Mana tidaknya filem Nur Kasih dan Pirate of Carribean tiketnya dijual di kaunter khas. Express pula. Akhirnya berjaya juga kami beli tiket untuk tayangan jam 3.30 petang walaupun terpaksa memilih kerusi paling bawah.
Semasa menunggu masa tayangan, kami berjalan-jalan di sekitar pusat beli belah itu. Mata Kak Long pantas sahaja melihat kedai buku Popular yang berwarna merah. Apa lagi, Kak Long pun terus masuk. Lihat punya lihat, mata Kak Long tertarik dengan sebuah buku diari yang rupa-rupanya 'bestseller' di negara luar. 'The Dork Diaries'. Itulah tajuknya. Buku ini boleh sahaja dijadikan panduan untuk Kak Long menghasilkan sebuah buku bertema diari. Sebenarnya Kak Long sudah ada jalan ceritanya, dan kemunculan buku ini di depan mata umpama orang mengantuk disorongkan bantal.
Kak Long belek beg duit. Dalam hati Kak Long berkata, "Alamak, duit ada RM50 saja. Macam mana?"
Lalu Kak Long pun berbincang dengan suami. Mujurlah suami memahami Kak Long yang Kak Long sedang mengusahakan sebuah buku yang temanya sama.
Kak Long pun ke kaunter pembayaran. Wang RM50 yang sekeping terus Kak Long hulur kepada jurujual. Hati Kak Long gembira sangat. Berasa seperti hendak melompat tinggi tinggi macam kanak-kanak sepuluh tahun.
Kak Long perlu menunggu lagi di ruang menunggu sementara pintu panggung di buka. Kak Long lihat ketika itu begitu ramai mak cik- mak cik yang umurnya mungkin dalam 50an, 60an turut menunggu sama. Suami Kak Long berbisik di telinga, "Tengok ramai juga mak cik hendak tengok Nur Kasih." Kak Long tidak membalas, hanya senyum saja sebab ada seorang mak cik di sebelah kiri dan kanan Kak Long. Jika Kak Long balas kata-kata suami takut nanti mengundang kes terasa hati pula.
Apabila tamat sahaja filem Nur Kasih, kami terus pulang ke rumah kami. Apa perasaan Kak Long? Izinkan Kak Long ketawa dulu. "Hahahahha!"
Kak Long kuat menangis!
Adegan dalam filem itu banyak yang mengundang air mata Kak Long mengalir. Suami Kak Long mengejek. Kak Long malu dan marah, lalu Kak Long cubit lengan suami yang besar. (Jangan beritahu dia Kak Long cakap lengan dia besar, nanti dia cubit Kak Long kembali).
Perjalanan pulang sepatutnya hanya sejam dari Melawati, akan tetapi hujan begitu lebat. Jika Kuala Lumpur dilanda hujan lebat, maka bermakna jalan sesak. Apabila jalan sesak, kami tiba lewat di rumah. Sepatutnya kami tiba pada jam enam petang, tetapi akibat hujan lebat dan jalan sesak, kami tiba pada jam tujuh malam.
Pada lapan malam seperti biasa kami suami isteri menonton Buletin Utama TV3. Alangkah terkejutnya Kak Long. Rupa-rupanya hujan lebat siang tadi mengakibat sebuah tragedi. Tragedi yang amat menyayat hati. Sebuah rumah anak yatim dan madrasah ditimbus oleh tanah runtuh. Ketika itu seramai 24 orang dipercayai tertimbus dan sedang diusahakan menyelamat mangsa. Dan sehingga petang ini berita yang Kak Long lihat melaporkan seramai 14 orang telah maut. Innalillah hiwainnalillah hirajiun.....
Kak Long menghadiahkan Al-Fatihah kepada mangsa yang meninggal dunia. Moga roh mereka dicucuri rahmat.
Ok lah. Kak Long rasa cukuplah dulu setakat ini Kak Long menulis. Jika terus tulis bimbang esok lusa tiada pula idea Kak Long untuk menulis.
Assalamualaikum.
Inilah buku yang Kak Long beli dengan wang poket hanya RM50. Mujur buku ini berharga RM29.95.
No comments:
Post a Comment